KUALA LUMPUR: Mohd Faiz Subri sekali lagi menjadi tumpuan apabila jaringan cantiknya menjadi berita utama laman sesawang rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), www.fifa.com, hari ini.
Dengan tajuk 'Subri's physics-defying free-kick', artikel berkenaan menceritakan bagaimana jaringan menakjubkan yang dilakukan pada Februari lalu, bukan hanya menafikan logik bahkan hukum fizik.
Lebih daripada itu, jaringan dilakukan menggunakan teknik tersendiri itu menyebabkan lawannya, rakan sepasukan, penonton dan berjuta lagi yang menyaksikannya di atas talian seakan-akan tidak percaya.
Jaringan menakjubkan itu menurut artikel berkenaan mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang memuat naik menerusi Twitter menyatakan sepakan percuma itu "menakjubkan" dan "benar-benar hebat" serta sudah sampai ke Amerika.
Namun penghormatan untuk jaringan itu hadir pada 21 November apabila ia dipilih oleh pemain legenda, Gabriel Batistuta, Marta dan Marco van Basten untuk disenaraikan dalam 10 pencalonan untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.
Artikel berkenaan juga meminta orang ramai mengundi jaringan berkenaan jika berasakan ia bernilai untuk menerima Anugerah Puskas, selain meletakkan Faiz terus berada dalam laluan untuk merebutnya.
"Tarikh akhir untuk pusingan pertama undian akan berakhir esok, 2 Disember, untuk ke pusingan kedua dan seterusnya peringkat akhir," kata artikel berkenaan.
Pemenang akan diumumkan pada majlis Anugerah Terbaik FIFA pada 9 Januari 2017.
Sumber: Berita Harian
0 Comments for "Faiz Subri jadi berita utama Fifa.com"