NAZIR ARIFF (kiri) berjabat tangan dengan jurulatih baharu Harimau Kumbang, Ashley Westwood |
PULAU PINANG 28 Nov. – Skuad Harimau Kumbang mengumumkan bekas pemain Manchester United, Ashley Westwood sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu, musim depan bagi menggantikan Nenad Becina yang dipecat.
Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Munshi Ariff berkata, Westwood yang pernah membimbing kelab India, Bengaluru FC menandatangani kontrak selama dua tahun bagi membimbing Harimau Kumbang dalam aksi Liga Super.
Menurutnya, fokus tahun hadapan FAP ialah untuk menonjolkan bakat-bakat muda di samping mahu terus kekal beraksi dalam Liga Super bagi musim 2018.
“Kita percaya pengalaman Westwood akan membantu Pulau Pinang selepas menampilkan aksi kurang memuaskan, musim ini dan beliau akan diberi kuasa untuk memilih pemain terbaik, selain FAP membuat keputusan mengekalkan 16 pemain, musim ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, Westwood, 40, yang juga pernah bermain untuk Sheffield Wednesday dan Bradford City amat berharap dia mampu merealisasikan harapan yang disandarkan FAP kepadanya.
Jelasnya, berdasarkan kejayaan membimbing Bengaluru FC menjuarai Liga India sebanyak dua kali dan kejuaraan Piala Federasi, dia sedia menyahut cabaran kejurulatihan di negara ini pula.
“Pasukan lama saya pernah mara sehingga ke peringkat suku akhir Piala AFC dan saya juga mengetahui serba sedikit tentang bola sepak negara ini terutamanya pasukan JDT.
“Suasana agak berbeza di sini kerana bola sepak cukup popular dan menjadi sukan utama berbanding di India. Sudah pasti saya mengharapkan pemain yang tersenarai akan memberikan persembahan terbaik mereka,” ujarnya
Sumber: Utusan
0 Comments for "Westwood jurulatih baru Pulau Pinang"