PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin |
KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan betapa pemilihan dan pertukaran pemain import sebagai cara pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan wang pasukan di Liga Malaysia (Liga M).
Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata ketika ini terdapat dua jenis pemain import iaitu mereka yang perlu dibayar dengan harga tinggi dan pemain menjadikan negara ini sebagai destinasi akhir selepas gagal menempatkan diri dalam saingan lebih tinggi.
"Dalam perniagaan bola sepak, wang adalah segala-galanya. Satu lagi contoh adalah mengapa kelab di Malaysia sering kali menukar pemain import mereka dan perbelanjaan menjadi lebih berganda daripada yang sepatutnya.
"Jawapannya mudah. Ini kerana beberapa jurulatih sengaja menukar pemain supaya mereka boleh berkongsi wang dengan ejen dan mendapat manfaat daripada wang kelab.
"Ini biasanya berlaku apabila kelab-kelab yang dikendalikan oleh orang-orang yang tidak tahu tentang perniagaan bola sepak," katanya menerusi akaun Facebook kelab JDT iaitu Johor Southern Tigers semalam.
Tunku Ismail berkata sebelum ini JDT juga pernah menjadi mangsa aktiviti seperti itu.
Katanya, aktiviti itu sudah dibendung bagi memastikan wang yang diraih menerusi penaja dan penyokong akan terus dilindungi serta digunakan pada perkara sepatutnya.
"Saya telah berada dalam industri bola sepak selama empat tahun dan saya bersyukur kepada Tuhan kerana saya berjaya belajar dengan cepat berbanding orang lain dalam industri ini.
"Saya pernah bertanya soalan ini kepada Pablo Aimar, mengapakah kos lebih mahal untuk membawa pemain ke Asia Tenggara? Beliau menjawab, kerana apabila kita memasuki Asia Tenggara, kita sudah berada di luar radar dunia bola sepak.
"Persoalannya ialah adakah mereka peduli atau tidak? Ia bukan wang mereka, ia adalah wang kerajaan. JDT tidak ada pilihan tetapi perlu ambil tahu kerana kami bertanggungjawab ke atas setiap wang kelab yang diberikan penaja dan penyokong," katanya.
Sumber: Berita Harian
0 Comments for "TMJ dedah wujud komplot ejen, jurulatih Liga M"