Blog Bola Sepak Malaysia

'Prank' Liridon menjadi, kekal Kedah sampai 2018




PEMAIN sensasi Kedah, Liridon Krasniqi mengesahkan akan terus setia bersama Juara Piala Malaysia 2016 itu untuk tempoh dua tahun lagi sekaligus melegakan seluruh penyokong Hijau Kuning yang mahu pemain berpengaruh itu terus kekal bersama pasukan tersebut.

Bagaimanapun, pengumuman itu dilakukan olehnya sejam selepas dia membuat ucapan seolah-olah akan meninggalkan Kedah di laman Facebook rasminya dengan meletakkan status 'Goodby Kedah #LK8'.

Dalam rakaman awalnya, Liridon memberikan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan dan pegawai pasukan, pemain-pemain Kedah termasuk penyokong yang terus berada di belakang pasukan selama beliau bersama skuad ini.

'Prank' dilakukan oleh pemain kelahiran Kosovo itu berjaya membuatkan sebahagian besar pengikutnya di laman media sosial bersedih kerana Hijau Kuning masih memerlukan kudratnya untuk terus bersaing di saingan Liga Malaysia tahun hadapan.

Malah tidak ketinggalan ada penyokong Kedah yang mahu Liridon beraksi di liga luar Malaysia kerana tidak mahu melihat pemain kesayangan mereka menjadi lawan kepada pasukan Hijau Kuning.

"Kepada penyokong Kedah, saya mahu kamu semua tahu bahawa saya akan terus bersama Kedah selama dua tahun lagi sehingga 2018," tulisnya di laman Facebook rasminya selepas melakukan aksi 'prank' dan mempamerkan riak wajah muram dalam satu rakaman video sebelum itu.

Lebih menggembirakan penyokong Kedah apabila Liridon turut menurunkan tandatangan ke atas surat tawaran yang dihantar oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kepadanya yang kini sedang berehat bersama keluarga di Munich, Jerman.

Sebelum ini, perancang Kedah itu disebut-sebut menjadi buruan beberapa pasukan gergasi tanah air di atas kemampuannya membantu Kedah muncul pasukan ketiga terbaik Liga Super 2016 selain membantu pasukan muncul Juara Liga Premier 2015.

Sumber: Sinar Harian


0 Comments for "'Prank' Liridon menjadi, kekal Kedah sampai 2018"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top