Blog Bola Sepak Malaysia

Ong Kim Swee kekal walau gagal




Yangon: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan kedudukan jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee kekal biarpun beliau gagal memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) mengemudi pasukan layak ke final Piala AFF.
Namun, beliau berkata, ia juga tertakluk kepada keputusan Exco FAM jika mahukan perubahan selepas mendapat laporan mengenai prestasi skuad kebangsaan selepas ini.
“Exco FAM akan membuat keputusan apa saja jika mereka mahu. Mereka akan bermesyuarat kemungkinan Januari atau Februari depan dan di situ laporan daripada jurulatih Datuk Ong Kim Swee akan dibincangkan,” katanya semalam.
Misi Harimau Malaysia ke final tidak kesampaian apabila tumpas 0-1 kepada tuan rumah Myanmar pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon kelmarin.
Skuad kendalian Kim Swee hanya berjaya mengutip tiga mata dalam kempen kali ini hasil kemenangan 3-2 ke atas Kemboja sebelum kalah 0-1 di tangan Vietnam.
Kedudukan Kim Swee sebagai jurulatih mula dibangkitkan susulan kegagalan itu.
Hamidin yang juga pengurus pasukan berkata, Kim Swee yang dilantik pada Januari tahun ini masih memiliki baki kontrak setahun dengan dua misi lagi untuk diselesaikan iaitu membawa pasukan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan menduduki ranking 140 dunia.
“Kontrak beliau hingga hujung tahun depan dengan Exco FAM memberikan tiga KPI, layak ke final Piala AFF gagal tapi ada dua lagi KPI untuk dicapai.
“Exco FAM yang meminta saya menjaga pasukan ini, jika Exco FAM tidak mahu saya meneruskan tugas ini saya OK. Saya cuma menjalankan tugas demi negara.
“Memang saya kecewa dengan keputusan ini, tapi kita kena akui kita tidak cukup bagus. Tapi, standard kita dengan pasukan lain sama, jika kita bertemu dengan Myanmar sekali lagi serta Indonesia selepas ini, kita boleh mengalahkan mereka kerana ada masa prestasi turun dan naik.
“Kita akan bangkit semula, kita akan menyusun perancangan lebih baik tahun depan terutama bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2019,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro
0 Comments for "Ong Kim Swee kekal walau gagal"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top