Blog Bola Sepak Malaysia

Kerjasama TM, Liga M hampir setengah bilion



KUALA LUMPUR 2 Feb. - Liga Malaysia (Liga M) mengikat perjanjian yang disifatkan oleh Persatuan Bola Sepak (FAM) sebagai terbesar dalam sejarah sukan tanah air apabila memeterai kerjasama bernilai RM480 juta dengan syarikat telekomunikasi gergasi negara, Telekom Malaysia Berhad (TM).

FAM dalam Facebook rasminya hari ini mengumumkan, TM dan pentadbir Liga M, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mengikat perjanjian lapan tahun bernilai RM60 juta setahun.

Pengumuman tersebut dibuat hanya seminggu selepas FMLLP mengumumkan kerjasama penyiaran dengan penyedia perkhidmatan televisyen internet, iflix yang dianggar bernilai RM100 juta selama 10 tahun.

Menurut FAM, keyakinan terhadap kepimpinan Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara yang membawa kepada perjanjian ‘mega’ tersebut, malah hak penyiaran akan diagih kepada seluruh pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan juga Liga Perdana.

Jumlah hak penyiaran tersebut juga akan meningkat pada setiap tahun dan bakal menjadi hak penyiaran tertinggi pernah diraih oleh sesebuah pasukan dalam negara ini.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, perkhidmatan televisyen internet TM, unifi akan menyiarkan dua daripada enam perlawanan Liga Super pada setiap hari pertandingan, selain menyiarkan aksi Sumbangsih, Piala Malaysia, Piala FA dan beberapa perlawanan Liga Perdana. Perlawanan tersebut boleh diakses menerusi aplikasi unifi PlayTV.


“Saya amat berbesar hati dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini, yang mana ia merupakan yang terbesar dalam sejarah sukan di Malaysia.

“Ini adalah bukti keyakinan TM terhadap sukan bola sepak dan Liga Malaysia merupakan pemacu komersial serta perpaduan utama di negara ini,” kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, komitmen jangka panjang yang ditunjukkan TM adalah gambaran yang mencerminkan nilai serta kemampuan Liga Bola Sepak Malaysia.

“Mereka sentiasa menjadi penyokong kuat sukan bola sepak Malaysia secara amnya. Kami amat berterima kasih kepada unifi, jenama yang akan mengemudi dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong pasukan kegemaran masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Liga Perdana pula kekal dikenali sebagai 100Plus Liga Perdana Malaysia di bawah perjanjian yang bermula pada musim 2016. - UTUSAN ONLINE

Sumber: Utusan


0 Comments for "Kerjasama TM, Liga M hampir setengah bilion"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top