Blog Bola Sepak Malaysia

FAM lantik penolong jurulatih Harimau Malaya baharu


PETALING JAYA – S Balachandran dan Aminuddin Hussin sah dilantik sebagai penolong jurulatih kepada pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan pelantikan dua individu berkenaan mendapat perkenan daripada Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sambil menjelaskan kedua-dua mereka akan memulakan tugas dalam tempoh terdekat.

Balachandran merupakan bekas jurulatih skuad Bawah 16 (B-16) tahun kebangsaan manakala Aminuddin adalah bekas penolong jurulatih B-23 kebangsaan."Pemilihan mereka daripada cadangan Cheng Hoe sendiri dan dibawa ke pihak pengurusan sebelum mendapat perkenan daripada Tunku Presiden.

"Setelah kita melihat kesemua kriteria dan juga pandangan daripada Cheng Hoe, kita bersetuju melantik mereka berdasarkan pengalaman yang dimiliki dan saya yakin gabungan dua jurulatih ini dapat membantu Cheng Hoe dalam mempersiapkan skuad kebangsaan menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki nanti," katanya.

Hamidin berkata demikian, ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Beliau berkata badan induk itu memberi tempoh setahun kepada Balachandran dan Aminuddin untuk membuktikan keupayaan masing-masing sebelum kontrak mereka akan dinilai semula pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Hamidin mendedahkan skuad senior kebangsaan akan mengadakan aksi persahabatan berstatus 'A' menentang Mongolia pada 23 Feb ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai persiapan menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2018 pada November.
"Cheng Hoe dan dua jurulatih ini akan memulakan tugas Sabtu ini untuk memilih pemain terbaik bagi dipanggil untuk menjalani sesi latihan pusat skuad kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi," jelas Hamidin.

Katanya, badan induk itu turut merancang untuk menambah perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus 'A’ bagi menaikkan kembali ranking skuad kebangsaan yang kini berada pada kedudukan ke-175 dunia.

Pada masa sama, Hamidin tidak menolak kemungkinan lebih banyak pemain B-23 negara yang beraksi cemerlang pada Kejohanan Bola Sepak AFC B-23 di China, baru-baru ini, akan diberi peluang menyarung jersi skuad senior kebangsaan, namun segala keputusan bergantung kepada Cheng Hoe sendiri. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

0 Comments for "FAM lantik penolong jurulatih Harimau Malaya baharu"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top